Pages

notice board

Selamat Hari Ibu, Wajarkah Sambutannya

Bismillah.

Teks: Nurulhuda Mohd Najmi


Apapun nak ucapkan dulu Selamat Hari Ibu buat Umi dan Umi Mertua. I love both of you! Ibu berbahagia di dunia dan akhirat.
 

Apa hari ibu ni?

Hari Ibu merupakan salah satu perayaan yang diadakan untuk meraikan para ibu atas semua peranan dan tanggungjawab mereka dalam keluarga selama ini. Di serata dunia, tarikh perayaan Hari Ibu disambut berbeza mengikut negara-negara tertentu. Kebanyakan Negara Arab seperti Mesir meraikan Hari Ibu pada 21 Mac. Di Thailand pula, mereka menetapkan tarikh 12 Ogos sebagai Hari Ibu, manakala di Indonesia Hari Ibu disambut pada 22 Disember. Walaubagaimanapun, rata-rata negara termasuk negara Malaysia menyambut hari ibu pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei.

Maka, ramailah anak-anak yang mengajak ibu mereka keluar berjalan-jalan, keluar makan bersama-sama, membelikan hadiah dan sebagainya sempena meraikan hari ini.


 Ramai yang tak tahu Sejarah Hari Ibu ni, cuma menurut sejarah yang telah dikenalpasti, asal-usul Hari Ibu pada mulanya merupakan perayaan musim bunga orang-orang Greece, sebagai penghormatan terhadap Rhea, ibu kepada Tuhan mereka. Orang-orang Greek kuno pula menamakan perayaan ini sebagai Cybele iaitu sambutan hari ibu kepada dewa-dewa mereka. Manakala orang-orang Roman kuno memanggil perayaan ini hari Matronalia iaitu sebagai tanda memperingati dewa Juno.

Pada tahun 1600, orang-orang England merayakan hari yang mereka namakan sebagai “Mothering Sunday". Perayaan ini dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent adalah tempoh masa selama 40 hari sama ada dalam bulan Februari atau Mac. Sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama dalam tempoh ini. Menurut mereka, amalan ini adalah bertujuan untuk memberi penghormatan kepada Mother Mary iaitu Maryam, ibu kepada Nabi Isa a.s. atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan.

Kebanyakan rakyat England yang fakir dan miskin pula akan bekerja sebagai pembantu rumah dalam tempoh tersebut. Mereka sanggup keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh tersebut. Menjelang hari Ahad keempat, majikan mereka menggalakkan mereka untuk bercuti dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu mereka. Mereka akan menghadiahkan Mothering Cake atau kek hari ibu sempena perayaan tersebut.

Bermula daripada inilah, amalan dan tradisi ini terus menular ke serata dunia termasuk Malaysia dan dikenali sebagai Hari Ibu, di mana kita menyambutnya tanpa kita sedar dari manakah akar umbi datangnya hari ini.
Pendapat ulama mengenai sambutan Hari Ibu

Para ulama berselisih pendapat tentang perkara ini dan mereka terbahagi kepada dua kelompok, iaitu kelompok yang mengharamkan dan kelompok yang mengharuskan.

Pengharaman sambutan Hari Ibu


Kelompok yang mengharamkan, antaranya ialah Syeikh Muhammad bin Sholih Al-’Utsaimin dan  Al-marhum Sheikh Abdul Aziz bin Baz yang pernah mengeluarkan fatwa mengenai perkara ini.

Mereka berpendapat bahawa menyambut Hari Ibu adalah perbuatan bida’ah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. iaitu,

“Barangsiapa yang mengadakan perkara-perkara yang baru dalam urusanku ini (Islam) yang tidak bersumber darinya, maka amalan tersebut akan tertolak”.

Justeru, perayaan hari ibu tidak diperbolehkan. Sebarang simbol-simbol yang menggambarkan perayaan seperti pemberian hadiah, bersuka ria juga tidak boleh diadakan.


Setiap hari adalah Hari Ibu!

Hakikatnya, Islam menuntut kita untuk mentaati, menghormati dan berbuat baik kepada ibu sepanjang masa dan setiap ketika, bukan terhad pada waktu-waktu atau hari-hari tertentu sahaja. Wanita itu, ibu, mama, umi, mak, mummy atau apa pun panggilan yang diberikan merupakan anugerah paling berharga buat kita.

Beliaulah yang melahirkan kita, membesarkan kita, melayan karenah kita dan mendidik kita sehingga kita menjadi sepertimana kita sekarang. Pelbagai pengorbanan telah beliau lakukan untuk kita. Beliaulah permata yang jika hilang, tidak akan dapat dicari ganti.

Abu Hurairah r.a berkata, seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya,

"Siapakah manusia yang berhak aku layan sebaik-baiknya?”. Baginda menjawab, "Ibumu."
Dia bertanya, "Kemudian siapa?”. Baginda menjawab,"Ibumu."
Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?". Baginda menjawab,"Ibumu."
Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?". Baginda menjawab,"Ayahmu."

(Hadith Riwayat Bukhari)

Betapa beruntungnya mereka yang mentaati dan menghormati ibu mereka, seperti mana kisah Uwais Al-Qarni, seorang pemuda miskin yang hidup pada zaman rasul. Beliau sangat teringin untuk berjumpa dengan Rasulullah s.a.w., tetapi kerana kesetiaan dan ketaatan beliau kepada ibunya, beliau tidak sempat untuk bertemu dengan baginda Rasulullah s.a.w. Namun begitu, nama beliau telah menjadi sebutan oleh seluruh penghuni langit kerana ketaatan beliau kepada ibunya. Malah, Rasulullah sendiri turut memuji beliau dan beliau dijanjikan syurga oleh Allah s.w.t.

Lihatlah betapa tingginya darjat mereka yang menghormati dan mentaati ibu mereka. Oleh itu, sama-samalah kita muhasabah diri kita. Sudahkah kita ucapkan terima kasih kepada ibu kita atas segala pengorbanan beliau selama ini?

Tidak perlu untuk menunggu hari seperti Hari Ibu, kerana setiap hari adalah hari ibu. Tidak perlu untuk belikan hadiah yang mahal-mahal, kerana hadiah yang paling mahal dan bernilai buat mereka adalah doa daripada kita.

“ Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

(Surah al-Israa’, Ayat 23 hingga 24)

Rujukan:
http://ms.wikipedia.org/wiki/Hari_Ibu
http://darulharis.blogspot.com/2011/05/sejarah-hari-ibu-dan-pandangan-islam.html
http://fitrahislami.wordpress.com/2011/05/09/hukum-merayakan-hari-ibu/
http://komuniti.iluvislam.com/topic/27326-hari-ibu/



Sumber


Salam Ukhuwah Fillah

0 comments:

Post a Comment

TINGGALKAN KOMEN

Disclaimer #1

Segala perkongsian di blog ini, tiada kaitan dengan mana-mana pihak kecuali yang dinyatakan sebaliknya. Sebarang pemahaman dari pembacaan, adalah tanggungjawab anda sendiri.

Disclaimer #2

Tidak dibenarkan sama sekali, mem'PRINT SKRIN' sebarang artikel dari web ini, kecuali dengan keizinan saya sebagai pemilik blog.

TERIMA KASIH.
 
Copyright © Diari Seorang Wahm:NuyunNajmi | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in